SELAMAT DATANG

Isnin, 30 Januari 2012

JENIS-JENIS IBADAH.

Pengertian Ibadah

Berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain.

Menurut istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt - mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.


Asas-asas ibadah

1. Ketundukan - menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri.

2. Kecintaan - kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah, nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah.

“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  Ali Imran : 31

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” Al-Baqarah : 165


Ciri-ciri ibadah

1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.

2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.

3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

Syarat-syarat ibadah

1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak.

2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan mamakmurkan bumi Allah.

3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya.

“Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith.

4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang lain.

5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib.

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

*         Ibadah khusus

Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana  yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

 Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

  Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

*         Ibadah umum

Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

Syarat-Syarat Pekerjaan / Amalan Menjadi Ibadah

Sesuatu pekerjaan atau sebarang amalan itu boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut :

1. Orang yang melakukan hendaklah beragama Islam.

2. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam. Sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti pekerjaan yang ada hubungannya dengan riba, tari menari, perkara-perkara maksiat dan sebagainya, tidaklah sekali-kali menjadi ibadah. Allah bersifat bersih dan baik, tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.

3. Amalan-amalan itu dikerjakan hendaklah dengan niat yang baik. Sama ada untuk memelihara kehormatan diri atau menyenangkan keluarganya atau memberi manfaat kepada umatnya atau untuk memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.

4. Semasa membuat pekerjaan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak menipu dan tidak menindas atau mencampur hak orang.

5. Segala pekerjaan duniawi itu tidak melalaikan dan mencuaikan dari melaksanakan kewajipan ibadah. Khususnya seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah :
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman janganlah hendaklah harta-harta kamu dan anak pihak itu melalaikan kamu dari mengingatkan Allah. Sesiapa berbuat demikian maka merekalah sebenarnya orang-orang yang rugi.

Jadi, bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan syarat-syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di Masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu.
Hikmah Ibadah

1. Ibadah dalam Islam adalah merupakan makanan atau riadhah ruhi sebagaimana jasad memerlukan makan dan minuman.

2. Untuk memerdekakan diri manusia daripada menghambakan diri kepada sesuatu makhluk selain daripada Allah.

3. Untuk memberikan suatu keyakinan dan tempat pergantungan yang sebenarnya yang telah menjadi fitrah atau tabi’at semulajadi manusia.

4. Untuk mengembalikan dan meletakkan manusia itu di tempat fitrahnya yang betul sebagai hamba Allah Taala.

5. Ibadah juga merupakan ujian Allah kepada hambanya dalam seluruh hidupnya.

6. Ibadah juga suatu garis pemisah yang membezakan antara Islam dengan kafir dan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain.

Sabtu, 7 Januari 2012

FEQAH

ISTINJAK, SAMAK DAN SERTU

 1. Istinjak ialah menghilangkan najis yang keluar dan qubul dan dubur selepas membuang air kecil atau air besar dengan menggunakan alat-alat instinjak.

 2. Hukum istinjak adalah wajib apabila seseorang itu membuang air besar atau kecil. Istinjak boleh dilakukan dengan air, atau batu atau benda-benda kesat. Menggunakan kedua-duanya (air dan batu atau benda-benda kesat) dalam satu masa sebagai alat istinjak adalah lebih afdal (baik).

 Sabda Rasulullah S.A.W.:

 Bila salah seorang antara kamu pergi buang  air hendaklah beristinjak dengan tiga biji batu, kerana
demikian itu cukuplah untuknya             (Riwayat An-Nasai dan Abu Daud)

 3. Alat-alat yang boleh digunakan untuk beristinjak termasuklah:

(a)   air mutlak;

(b)   benda-benda yang kesat, keras dan kering seperti batu, kayu, daun kering, kertas, dan sebagainya.

Contoh alat istinjak :
ALAT- ALAT ISTINJAK
  • Air mutlak


  • Batu




  • Kulit kayu


  • Daun kering



  • Kertas tisu




4. Alat-alat yang diharamkan untuk beristinjak termasuklah:

(a)   bahan-bahan makanan seperti roti;

(b)   tulang-tulang binatang;

(c)   kertas yang tertulis nama Allah S.W.T., ayat­-ayat Al-Quran dan Al-Hadis.

 CARA BERISTINJAK

1. Istinjak boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu :

 (a) menggunakan air mutlak;

     i.     bersihkan tempat keluar najis hingga suci dan dan bersih

          ii.       pastikan hilang bau, rasa, rupa, dan warna najis tersebut.

     (b)  menggunakan benda kesat atau batu

     i.     hendaklah dicalitkan tempat keluar najis sebanyak tiga kali,

          ii.      jika menggunakan satu batu, hendak disapukan pada tiga penjuru batu  tersebut,

         iii.       sekiranya masih belum bersih, wajib diulang sehingga benar-benar suci.

     (c) menggunakan air dan batu;

    i.     menyapu tempat keluar najis dengan batu sehingga hilang najis tersebut,

          ii.     kemudian, dibersihkan dengan air untuk menghilangkan rasa, bau, dan warnanya

                   Cara ini adalah yang paling afdal jika dibandingkan dengan cara (a) dan (b).


2. Selepas selesai beristinjak, kita disunatkan membaca doa memohon kepada Allah S.W.T. supaya kita tergolong dalam golongan yang bersih dan beramal soleh.

3. Beristinjak dengan benda-benda kesat mempunyai beberapa syarat, iaitu:

 (a) alat tersebut kering dan bersih;

(b) alat tersebut bukan daripada benda yang

(c) diharamkan seperti makanan atau yang seumpama dengannya;

(d) najis tersebut masih belum kering;

(e) najis tersebut tidak beralih daripada tempat asalnya;

(f) disapu sebanyak tiga kali, tetapi sekiranya belum bersih hendaklah diulang lagi sehingga bersih;

(g) tidak ada benda-benda lain yang melekat di tempat keluar najis.

Hikmat-hikmat beristinjak termasuklah:

(a)  menjauhkan diri daripada kuman yang membawa penyakit;

(b) supaya badan dalam keadaan sihat dan bersih;

(c) dapat mengerjakan ibadat kepada Allah S.W.T., dengan khusyuk;

(d) mengelakkan daripada dipandang jijik oleh orang lain;

(e) supaya anggota badan tidak dijangkiti oleh pelbagai penyakit.

SAMAK
  1. Samak ialah menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam (peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya.

2. Bahan-bahan tersebut dapat menanggalkan dan menghilangkan semua    kekotoran dan lendir yang mengandungi kuman­kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut.

  Sabda Rasulullah S.A.W.:                   

Maksudnya: Setiap kulit yang disamak menjadi bersih. (Riwayat Muslim)

  SERTU
 1. Sertu ialah menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah iaitu anjing, babi dan keturunannya.

2. Najis Mughalazah hendaklah disuci dengan membasuhnya menggunakan air mutlak sebanyak enam kali
    dan satu kali dengan air tanah.

3.  Menyucikan najis mughalazah dengan mengguna­kan tanah bertujuan untuk menghilangkan kuman-kuman penyakit yang terdapat pada badan binatang najis mughalazah. Mengikut ilmu kedoktoran, kuman-kuman penyakit yang terdapat pada najis mughalazah tidak dapat disucikan melainkan dengan menggunakan tanah.
HIKMAT SERTU DAN SAMAK

1.  Dapat menghilangkan kuman-kuman penyakit yang terdapat pada kulit-kulit binatang.

2.  Supaya manusia dapat menggunakan kulit-kulit binatang dengan selesa dan bersih.

3.  Menunjukkan bahawa Islam agama yang mementingkan kebersihan dalam penggunaan

semua peralatan harian.

4.  Supaya orang Islam sentiasa berhati-hati menggunakan bahan-bahan keperluan dalam kehidupan mereka.

5.  Menunjukkan bahawa Islam memberikan kemudahan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling mereka asalkan dengan cara yang halal.

6.  Terhindar daripada dijangkiti oleh sebarang kuman penyakit.




    _________________________
    I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me