SELAMAT DATANG

Isnin, 30 Januari 2012

JENIS-JENIS IBADAH.

Pengertian Ibadah

Berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain.

Menurut istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt - mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.


Asas-asas ibadah

1. Ketundukan - menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri.

2. Kecintaan - kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah, nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah.

“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  Ali Imran : 31

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” Al-Baqarah : 165


Ciri-ciri ibadah

1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.

2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.

3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

Syarat-syarat ibadah

1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak.

2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan mamakmurkan bumi Allah.

3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya.

“Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith.

4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang lain.

5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib.

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

*         Ibadah khusus

Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana  yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

 Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

  Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

*         Ibadah umum

Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

Syarat-Syarat Pekerjaan / Amalan Menjadi Ibadah

Sesuatu pekerjaan atau sebarang amalan itu boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut :

1. Orang yang melakukan hendaklah beragama Islam.

2. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam. Sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti pekerjaan yang ada hubungannya dengan riba, tari menari, perkara-perkara maksiat dan sebagainya, tidaklah sekali-kali menjadi ibadah. Allah bersifat bersih dan baik, tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.

3. Amalan-amalan itu dikerjakan hendaklah dengan niat yang baik. Sama ada untuk memelihara kehormatan diri atau menyenangkan keluarganya atau memberi manfaat kepada umatnya atau untuk memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.

4. Semasa membuat pekerjaan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak menipu dan tidak menindas atau mencampur hak orang.

5. Segala pekerjaan duniawi itu tidak melalaikan dan mencuaikan dari melaksanakan kewajipan ibadah. Khususnya seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah :
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman janganlah hendaklah harta-harta kamu dan anak pihak itu melalaikan kamu dari mengingatkan Allah. Sesiapa berbuat demikian maka merekalah sebenarnya orang-orang yang rugi.

Jadi, bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan syarat-syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di Masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu.
Hikmah Ibadah

1. Ibadah dalam Islam adalah merupakan makanan atau riadhah ruhi sebagaimana jasad memerlukan makan dan minuman.

2. Untuk memerdekakan diri manusia daripada menghambakan diri kepada sesuatu makhluk selain daripada Allah.

3. Untuk memberikan suatu keyakinan dan tempat pergantungan yang sebenarnya yang telah menjadi fitrah atau tabi’at semulajadi manusia.

4. Untuk mengembalikan dan meletakkan manusia itu di tempat fitrahnya yang betul sebagai hamba Allah Taala.

5. Ibadah juga merupakan ujian Allah kepada hambanya dalam seluruh hidupnya.

6. Ibadah juga suatu garis pemisah yang membezakan antara Islam dengan kafir dan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan